Book Review: Rahsia Danny - Teme Abdullah
"Lagipun kita semua pendosa. Cuma berdosa dengan cara yang berbeza."
It is been a while since 2023 blog - book review.
Aku sebenarnya dah hilang skill untuk menulis resensi buku dan harapnya ayat yang aku strukturkan senang dan dapat difahami, okay?
Rahsia Danny. Buku yang merupakan sambungan kepada Bayang Sofea dan buku yang menceritakan siapa Danish Coelho Ilyas yang sebenar-benarnya.
Betul ke Danny jadi sangat hebat disebabkan The Builders atau memang hebat disebabkan usaha gigihnya?
Betul ke Danny ini wujud atau sebenarnya bayangan Raisya Sofea Tanjungreja seperti dianggap oleh pembaca semasa membaca Bayang Sofea?
Dan betul ke buku yang berhalaman 538 muka surat ini menceritakan hanya tentang Danny atau ada juga perspektif tentang Sofea?
Kali ini, dalam satu buku, penulis bawakkan dua babak.
Aku boleh katakan babak pertama lebih kepada kefahaman dan imaginasi yang perlu dimainkan oleh pembaca sendiri.
dan daripada kefahaman dan imaginasi itu hendaklah dicantumkan menjadi satu gambaran puzzle yang sempurna dan itulah yang digariskan dalam babak kedua.
Sejujurnya, mula-mula aku tak berapa faham dan tak berapa dapat nak imaginasikan apa yang penulis sampaikan sebab aku boleh katakan penulis menulis Rahsia Danny dengan teknik "jump jump" yang mana sekejap tentang masa lalu Danny sekejap tentang masa kini Danny. Penulis seolah-olah tidak meletakkan garis masa yang jelas.
Tapi itu tidak membuatkan aku tidak ternganga tiga kali bila helaian demi helaian Rahsia Danny diselak.
Aku tak nafikan aku berada di usia yang muda, aku suka baca buku daripada penulis Teme Abdullah sebab knowledge dan information daripadanya adalah sangat baru bagi aku.
Sebelum ini, aku tak pernah tahu Haikal Sulaiman merujuk kepada sebuah struktur penting dalam sejarah Yahudi yang terletak di Baitulmaqdis. Struktur ini memainkan peranan penting sebagai pusat ibadah dan lambang keagungan orang Yahudi.
Bagi aku, manusia sangat sukakan kejayaan dan perkara-perkara materialistik. Siapa saja yang tak suka setiap kali perlawanan tinju menang di usia yang sangat muda sehingga dinobatkan sebagai juara dunia?
Siapa saja yang tak suka jika setiap perkara yang kita ingini berjaya dapat dengan sekelip mata saja?
Dan siapa yang akan menolak segala kejayaan yang ditawarkan selepas berhempas pulas menjaga ayah yang sangat uzur dan kehilangan segala harta benda?
Kalau difikirkan dua tiga kali sekalipun, kadang-kadang materialistik overruled prinsip hidup kita.
Yang kuat akan menang, dan yang lemah akan hanyut.
Satu lagi, aku suka watak Raisya Sofea Tanjungreja. Walaupun watak yang berbahaya, tapi aku tetap suka.
Kerana kadangkala kelebihan yang kita ada, adalah kekurangan dalam diri kita.
Kerana kadangkala kekurangan yang kita ada, adalah kelebihan dalam diri kita.
"Kita sedih, kita sakit, kita nangis, kita jatuh kehilangan tempat bergantung... Kita tak ada pilihan. Kita perlu bangun sendiri. Semua akan pergi tinggalkan kita kalau kita tak bangun" - Encik Ilyas
Overall, Rahsia Danny seronok aku baca tapi tidak seseronok baca seperti buku lain daripada Teme Abdullah.
Btw, kali ini, aku tak dapat beli buku masa pre-order tapi aku berjaya beli Rahsia Danny dan dapat bookmark yey!

Comments
Post a Comment